Ahad, 6 Disember 2015

Tanda-tanda kematian

Soalan
Assalammualaikum, tersebar dalam internet
mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang
bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati
badan akan mengalami getaran sesudah asar,
40 hari sebelum meninggal akan berdenyut
pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya,
sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini
sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil
dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang
mengatakan ia pandangan segelintir ulama.
Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan
apakah hukum jika menolaknya? Sekian.

Jawapan

Sesuatu yang tidak sabit dengan nas dari al-
Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan
iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara
ghaib. Urusan aqidah dan kepercayaan adalah
urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus
mendakwa sesuatu itu sebagai keyakinan agama
atau amalan agama melainkan ia wajib
mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran
atau as-Sunnah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi
wasallam-; “Sesiapa mereka-reka dalam
urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa
yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak”.
Adapun suatu dakwaan yang dibuat atas dasar
pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya
-bukan atas dasar agama-, itu terserah
kepada setiap individu sama ada untuk
menerima atau menolaknya berpandukan
penilaian akal masing-masing.
Kesimpulannya, orang yang mendakwa tanda-
tanda kematian itu adalah dari agama,
wajiblah ia mendatangkan dalil dari al-Quran
atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya dari
pengalaman atau penelitian, terserahlah
kepada masing-masing untuk mempercayainya
atau tidak.
Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-
khatimah)
Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah
tanda-tanda kematian yang baik (husnul-
khatimah) iaitu:
1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
ﻣَﻦْ ﻛَﺎﻥ ﺁﺧِﺮَ ﻛَﻼﻣِﻪ ﻻ ﺇِﻟﻪَ ﺇِﻻَّ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﺩَﺧَﻞَ ﺍﻟﺠَﻨَّﺔَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum
mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan
masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari
Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata
al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)
2. Berpeluh di dahi
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
ﺍَﻟْﻤُﺆْﻣِﻦُ ﻳَﻤُﻮْﺕُ ﺑِﻌَﺮَﻕِ ﺍﻟْﺠَﺒِﻴْﻦِ
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh
dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi,
an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –
radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi;
hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini
adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui
Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis
no. 9145))
Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada
dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda
bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya
renik-renik peluh itu menurut sebahagian
ulamak ialah kerana malunya kepada Allah
yang memberi rahmat kepadanya sedangkan
masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian
ulamak pula berkata; orang mukmin tidak
terlepas dari merasai kepayahan ketika mati,
namun kepayahan yang dihadapinya ringan
sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang
menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi.
(Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)
Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu
‘alaihi wasallam- bersabda;
ﻟَﻘِّﻨُﻮْﺍ ﻣَﻮْﺗَﺎﻛُﻢْ ﻻَ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻻَّ ﺍﻟﻠﻪُ ﻓَﺈِﻥَّ ﻧَﻔْﺲَ ﺍﻟْﻤُﺆْﻣِﻦِ ﺗَﺨْﺮُﺝُ ﺭَﺷْﺤًﺎ ﻭَﻧَﻔْﺲُ ﺍﻟْﻜَﺎﻓِﺮِ
ﺗَﺨْﺮُﺝُ ﻣِﻦْ ﺷِﺪْﻗِﻪِ ﻛَﻤَﺎ ﺗَﺨْﺮُﺝُ ﻧَﻔْﺲُ ﺍﻟْﺤِﻤَﺎﺭِ
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara
kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang
beriman akan keluar dengan bercucuran
peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar
dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh
kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari
Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-.
Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini
adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah,
Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).
3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
ﻣَﻦْ ﻗَﺎﻝَ ﻻَ ﺇِﻟَﻪَ ﺇِﻻَّ ﺍﻟﻠﻪُ ﺍِﺑْﺘِﻐَﺎْﺀَ ﻭَﺟْﻪِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺧُﺘِﻢَ ﻟَﻪُ ﺑِﻬَﺎ ﺩَﺧَﻞَ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔَ ﻭَﻣَﻦْ ﺻَﺎﻡَ
ﻳَﻮْﻣًﺎ ﺍِﺑْﺘِﻐَﺎْﺀَ ﻭَﺟْﻪِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺧُﺘِﻢَ ﻟَﻪُ ﺑِﻬَﺎ ﺩَﺧَﻞَ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔَ ﻭَﻣَﻦْ ﺗَﺼَﺪَّﻕَ ﺑِﺼَﺪَﻗَﺔٍ ﺍِﺑْﺘِﻐَﺎْﺀَ ﻭَﺟْﻪِ
ﺍﻟﻠﻪِ ﺧُﺘِﻢَ ﻟَﻪُ ﺑِﻬَﺎ ﺩَﺧَﻞَ ﺍﻟْﺠَﻨَّﺔَ
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-
mata kerana mengharapkan keredhaan Allah,
lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan
masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari
kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia
mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan
masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu
sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia
mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan
masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari
Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam
al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid;
“Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut
Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh.
(Lihat; Ahkam al-Janaiz)).
(Tuan-tuan/puan-puan yang ingin membaca
lebih lanjut tentang kematian dan hal-hal
berkait dengannya boleh dapatkan buku tulisan
saya “Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan
Roh”. Ebook sila dapatkan di ( http://ebook-
ilmudanulamak.blogspot.com/ )).
Wallahu a’lam.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan